Pada ketika itu, sekumpulan kanak-kanak sedang riuh bermain di kawasan tempat letak kereta. Maklum saja hari itu hari khamis dan ramai yang datang berbuka puasa di MATRI. Maka inilah peluang anak-anak itu bertemu kawan-kawan sebaya mereka. Dalam ramai-ramai itu kelihatan tiga empat orang kanak-kanak perempuan sedang berlarian ke sana ke mari. Ya, riang sungguh mereka.
Penat bermain, kesemua kanak-kanak perempuan kembali ke dalam musolla. Ingatkan mahu solat rupa-rupa sambung bermain. Memang dasar kanak-kanak. Bermain saja kerjanya. Tiba-tiba,
"Kakak, dah solah terawih?", salah seorang kanak-kanak yang dipanggil kakak itu terdiam sebentar seraya berpaling ke arah suara itu. Kelihatan ibunya terjegat memandangnya. Terserlah ketegasan di wajah si ibu.
"Gulp...habislah aku...",seketika terasa kering darah di muka. Pucat. Kalau hari lain, ketika imam membaca tahiyyat akhir, dia segera bersimpuh di belakang makmum. Kononnya bersolat juga. Tapi hari ini tidak. Maka ter'kantoi'lah si kanak-kanak 9 tahun itu dengan ibunya.
* * * * *
Emak selalu tegas dalam mendidik. Namun, tegasnya dalam lembut, bukan dalam keras. Marahnya dalam sayang, bukan dalam benci. Jika ada sikit kesalahan yang saya lakukan, emak akan segera betulkan. Walau sesetengah ibu mungkin mengaggap kesalahan itu tak perlu ditegur kerana anak masih kecil namun emak tidak. Katanya, dia mahu membiasakan saya sejak kecil supaya bila telah akhir baligh, saya sudah tahu mana yang dikendaki syara' dan mana yang tidak.
Hari ini, ketika telah menginjak ke angka 20, saya mula merindui zaman indah itu. Zaman keriangan tanpa beban. Yang tahu hanya bermain, bermain dan bermain. Walau sering dimarahi dek kenakalan namun teguran demi teguran itu yang membina peribadi saya hari ini. Menjadikan saya berusaha untuk menjadi muslimah yang sebenar.
Zaman itu telah jauh saya tinggalkan, zaman bermain. Kini, hanya masa hadapan yang tak pasti sedang menanti untuk saya corakkan dan warnakan dengan keindahan Islam. Adakah saya mampu ???


No comments:
Post a Comment