Pages

Showing posts with label Hari-hari Dalam Hidupku. Show all posts
Showing posts with label Hari-hari Dalam Hidupku. Show all posts

Wednesday, March 6, 2013

Alah Bisa Tegal Biasa

Bismillah walhamdulillah..
Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah yang masih memberi kita nafas pada hari ini.
Kalau tak, tak dapatlah saya mencoret di sini.
Kalau tak, tak dapatlah kalian baca coretan saya ini.
Semuanya dengan izin Allah..=)

Mahu berkongsi sesuatu dengan kalian.
Sesuatu yang sederhana tetapi memberi erti yang mendalam apabila dikaitkan dengan Pencipta.
Begini ya..

Setiap kali disoal teman-teman

"Eh, awak mahallah (kolej kediaman) mana ya?"

"Mahallah Ruqayyah", jawab saya sambil tersenyum. Dan saya dah dapat mengagak apa responnya nanti.

"Ruqayyah?! Jauh tuuu..Tak penat ke? Tak nak tukar mahallah?",begitulah respon mereka (kadang-kadang bosan jugak dengar..huhu..)

"Setakat ni tak rasa nak pindah lagi", ringkas saja jawapan saya.

Sungguh, mahallah saya dikira agak jauh dan paling hujung (orang selalu kata hujung dunia).
Memang penat jugak bila pulang dari kelas tu. Tapi lama kelamaan, perkara tu dah jadi biasa.

Mahallah sweet mahallah..^^ [link]


Saya kira teman-teman saya di mahallah Nusaibah, Sumayyah dan Salahuddin juga begitu. Mereka perlu mendaki tangga yang amat tinggi sebelum sampai ke mahallah (di Uia panggil 'tangga Batu Cave'). Semput jugak sebelum sampai ke puncak. Memang salute dekat teman-teman di mahallah sana. Kalau saya, mungkin tak sanggup nak daki hari-hari. Pergi dua tiga kali pun dah semput memanjat.

Tangga Nusaibah a.k.a tangga 'Batu Cave' [link]

Melihat situasi ini, lantas saya teringat satu peribahasa,

"Alah bisa tegal biasa"

Perkara yang sukar akan menjadi senang bila kita istiqomah.
Memang penat nak jalan kaki balik ke Ruqayyah.
Memang penat nak daki tangga 'Batu Cave' sebelum sampai ke Nusaibah.
Tetapi, mengapa tanpa sedar hari-hari kita mampu melakukannya walaupun sukar?
Kerana ISTIQOMAH dan juga KEMAMPUAN yang Allah beri.

Banyak benda yang sukar dalam kehidupan kita.
Sukar nak memahami subjek yang dipelajari,
sukar nak 'maintan'kan ibadah,
sukar nak ubah diri,
dan beribu warna kesukaran yang kita hadapi.
Kita rasa tak mampu, rasa terbeban dengan kesukaran itu
Namun jangan lari! Hadapilah dengan istiqomah. Insyaallah dengan pertolongan Allah yang sukar akan jadi mudah (self reflection actually).

Istiqomah. Nak sebut mudah, nak buat masyaallah. Apapun jangan putus asa. Kalau tak boleh nak buat selalu, at least jangan tinggal terus.

Adakala sebelum istiqomah, kita perlukan PAKSAAN/ MUJAHADAH.
Sesiapa pun tak suka dipaksa orang, jadi kitalah kena paksa diri sendiri.
Macam kes saya tadi. Dah dapat mahallah jauh, terpaksalah terima.
Terpaksalah berjalan walau jauh sikit (kalau ada bas, naik bas).
Bermula dari PAKSAAN atau MUJAHADAH itu lama-lama jadi KEBIASAAN.

Menurut Imam Al-Ghazali, ada 3 cara dalam pembinaan karakter yang baik :
1. Mujahadah
2. Habituation (kebiasaan), setelah bermujahadah dan istiqomah, perkara yang baik itu akan jadi kebiasaan.
3. Association (pergaulan), bergaullah dengan orang-orang yang baik akhlaknya.

Saya selalu ingat pesan seorang teman dalam bulatan cinta kami,

"Kita memang tak mampu tetapi Allah yang beri kita mampu"

Jadi, teman-temanku, jangan putus asa bila cabaran melanda. Teruskan usaha dan minta selalu pada-Nya.
Insyaallah kejayaan di tangan kita. =)

 note : Bagi kalian yang bukan Uia, jemput melawat ke sini. Bolehlah tahu lokasi penceritaan di atas..hehe..

Monday, December 24, 2012

Do Your BEST!

Bismillah walhamdulillah...

Musim exam datang lagi! yuhuuu..!

Sungguh memerlukan secebis kekuatan daripada Allah untuk men'cover' semua subjek.
5 paper awal yang berderet (28/12,29/12, 31/12, 2/1, 3/1) dan satu lagi yang agak jauh (13/1, bukan 'agak', memang jauh punnn..)

Mendengar khabar di sebelah Pantai Timur sana sedang lebat hujannya. Bumi dah jadi macam tasik, macam laut. Tapi, bagi teman-teman yang sedang atau bakal menghadapi final exam, mereka tetap struggle walau dalam kepayahan (yang kau kat sini senang lenang tak semangat pulak nak murajaah kan?!..memang nak kena..)


[link]

 Anyway, please do your BEST!
Sila STRUGGLE kalau tak nak menyesal di kemudian hari...(pesanan khidmat masyarakat ini ditujukan khas untuk 'tuan rumah')

Teman, tembakkan doa-doa kalian untuk saya dan teman-teman di UIA ya! Moga Allah mudahkan kami menghadapi final exam..=>

Thursday, December 20, 2012

'Abasa watawalla

Bismillah walhamdulillah...

It's been a long time since I've posted on my blog.
Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus. Alhamdulillah dapat mencoret lagi.

Sudah masuk minggu akhir untuk semester ni.
Bila flashback semula, baru dapat rasa bestnya kelas-kelas semester ni.
Salah satu kelas yang saya suka, kelas Dirasah Quran bersama Ass. Prof. Dr. Laith Suud Jassem atau senang dipanggil Ustaz Laith. Orang Iraq tak silap saya.

Dr. Laith, saya kagum dengan dia.
Walaupun kadang-kadang saya mengantuk sebab kelas di awal pagi,
walaupun selalu Dr. terlebih masa sebab semangat bercerita dengan kami,
tapi ini antara kelas yang paling banyak input saya dapat,
paling menarik dengan gaya dan ekpresi wajah yang menggambarkan kesungguhan dalam menerangkan ayat-ayat Allah kepada kami.

Subjek Dirasah Qur'an ni lebih kepada tafsir.
Bermula dari pertengahan juz 28 hingga awal juz 30 (fuhh..banyak betul nak cover untuk final ni..).
Apa yang menarik ialah gaya Ustaz mensyarah kitab Safwatul Tafasir tu seakan bercerita.
Sekejap diselitkannya dengan ilmu sains seperti astronomi, geologi, biologi, microbiologi dan lain-lain.
Kadang-kadang masuk pula psikologi, history, balaghah etc.
Hingga saya terasa, sungguh TIADA KITAB YANG PALING LENGKAP MELAINKAN AL-QUR'AN.
Itu belum masuk dengan pemilihan perkataan-perkataan dalam al-Qur'an yang menunjukkan kehebatan Al-Quran tu sendiri.

Contoh dalam surah an-Naazi'aat. Dipermulaan surah, Allah menyebut,

(wannazi'aati gharqa) "demi malaikat yang mencabut nyawa dengan keras", 
(wannasyithoti nasytho) "demi malaikat yang mencabut nyawa dengan lembut". 

Perkataan "gharqa" tu sendiri seakan-akan bunyi "grrrrr" yang menunjukkan dahsyatnya apabila malaikat mencabut nyawa orang yang tak beriman. Manakala perkataan "nasytho" seakan-akan bunyi "shhhh..." menunjukkan lembutnya malaikat apabila mencabut nyawa orang beriman (masyaallah...bulat mata bila ustaz terang gitu..siap dengan muka kerut-kerut sambil mencekik leher, terbaiklah ustaz.. O.O)

Satu lagi, ustaz ada share dengan kami tentang surah 'Abasa, dimana Allah telah menegur perbuatan nabi yang berubah riak wajah tatkala Abdullah bin Umm Makhtum, seorang yang buta bertandang ke dalam majlis nabi bersama golongan high-class Quraisy.

[sekarang kita nak fokus pada nama surah ('Abasa) dan ayat pertama sahaja. murid-murid sila buka Qur'an sekarang..]

Dalam Bahasa Arab, ada fi'il iaitu 'verb' atau perbuatan dan faa'il untuk orang yang melakukan. Perkataan 'Abasa Allah hadirkan dalam bentuk fi'il iaitu 'verb' bukan bentuk faa'il iaitu orang melakukan. Ini menunjukkan yang bermasalah tu bukan orang yang melakukan (Rasulullah) tetapi perbuataan itu sendiri iaitu bermuka masam (berubah riak wajah). Kalau ikutkan Abdullah b. Umm Makhtum tak terasa pun sebab dia tak nampak perubahan wajah Rasulullah tapi Allah still tegur untuk kita semua sedar bahawa perbuatan tu Allah tak suka, samada di depan atau belakang manusia, kepada manusia yang sempurna atau tidak. (tang! kan dah kena 'ketuk' dengan Allah..)

Nama surah ni juga menunjukkan bahawa, kalau nak tegur seseorang, tegurlah perbuatannya sahaja (sebab tu nama surah ni hadir dalam bentuk 'verb). Kalau nak benci, benci perbuataan itu sahaja, bukan individu tersebut. Misalnya bila melihat orang bermaksiat, kita cenderung untuk benci individu itu dan menjauhi mereka hingga terbiar dalam dosa. Namun, yang patut dibenci cuma perbuatannya. Individu tu perlu dikasihi agar dapat ditarik keluar dari kancah dosa.

Ayat ini walaupun diturunkan kepada Rasulullah tetapi bersifat umum. Cuba tengok ayat tu  " 'Abasa watawalla", bukan " 'abasa Muhammad watawalla". Maknanya apa? Allah tak khususkan kepada Rasulullah tapi untuk kita semua. Bila kita nak tegur seseorang di khalayak ramai, dalam usrah contohnya, tak perlu mention individu yang ingin ditegur agar dia tak terasa malu hingga sebulan tak nampak batang hidung (ada berlaku ke??). Untuk tegur, tegurlah secara umum. Siapa yang terasa diam-diamlah sajalah...huhu..

Wahhh..sekali dapat menulis banyak pula ya. Harap-harap kalian tak bosan. Doakan saya teman, moga ilmu yang ada mampu diamalkan..

note : Alhamdulillah semua dah settle, tinggal nak tasmi' saja. Surah al-Hasyr belum mahu 'mesra' 
         lagi dengan saya. Tak lekat-lekat lagi..huuu.. 
        


Saturday, July 21, 2012

21.7.12

Bismillah walhamdulillah...

Syukur pada Allah, dengan izin-Nya dan kasih sayang-Nya masih ada nafas untuk kita pada hari ini.

21.7.12, 1 RAMADHAN 1433H, SABTU.
21 tahun lepas, Allah mengizinkan hamba-Nya ini keluar bertemu dunia,
juga pada hari sabtu sama seperti hari ini.
Bezanya mengikut kalendar hijrah, saya lahir pada bulan Muharram.
(mengikut kata dokor due datenya pada 30.7 tapi orang tu tak sabar nak keluar..huhu..)

Semalam bersama mak melewati detik-detik kelahiran.
Dan saat sendirian, saya menyelak kembali helaian-helaian kitab kehidupan.
Berteka-teki sendiri.
Dalam 7560 hari (lebih kurang) yang Allah beri apa yang telah dilakukan?
Entah berapa banyak dosa dikerjakan?
Berapa harikah lagi yang Allah akan beri kepada saya?
Cukupkah untuk membasuh segala dosa,
dan menambah saham pahala?
Lantas saya berfikir kalau saya tidak berazam untuk meminimumkan dosa,
takut Allah biarkan usia ini larut dalam kemanisan dosa hingga hingga ajal menjemput saya.
(nauzubillahi minzalik...)

Sejujurnya pernah juga terfikir untungnya mereka yang hari lahirnya jatuh pada 1 Ramadhan.
Rasa istimewa sangat.
Dan hari ini Allah memilih saya untuk melaluinya. Syukur..^_^
Harapnya kita semua dapat melaksanakan kurikulum Ramadhan ini sebaiknya.
Dan moga ini bukan Ramadhan terakhir buat kita.

Kepada tangan-tangan yang menaip dan menghantar pesanan lewat handphone mahupun mukabuku,
jazaki/kallahukhairan khatira atas doa dan ingatan.
Kepada en.mukabuku yang tolong ingatkan birthday..thanks ya!..hehe..^^v

Akhir kalam,
RAMADHAN KAREM...!!! HAPPY RAMADHAN...!!! :D
Moga Allah berkati dan sayang kalian selalu...:)

note : Blog berwajah baru. Hadiah untuk diri sendiri. Ceria2 selalu...:)

Tuesday, July 3, 2012

BAKTIRIA!

Bismillah walhamdulillah...

(pesanan ikhlas : Post ini bukan tazkirah mahupun sesi muhasabah diri. Sekadar coretan santai cik Insyeerah yang sedang ber'honey moon' di rumah. Jangan rasa teragak-agak untuk menekan butang 'x' jika anda rasa tidak perlu baca..thank you..)


BAKTIRIA!

BAKTIRIA?
Apakah?
Adakah yang dimaksudkan itu bakteria dalam iklan susu vitagen?
Oh, semestinya tidak.

BAKTIRIA ini tak ada kaitan dengan bakteria apalagi susu vitagen (walaupun sebutannya seakan ‘bakteria’)

BAKTIRIA ini adalah slogan baru saya.
(Apa?)
Ya, slogan baru yang tiba-tiba muncul dalam minda semasa bersama mak di dapur.
BAKTIRIA ni singkatan kepada ‘BERBAKTI DENGAN CERIA’.

Alhamdulillah selama beberapa minggu saya di rumah, termasuk hari ini sudah dua kali saya membuat cookies. Bagi saya yang cukup malas bergaul dengan majerin dan tepung kerana lebih suka berkawan dengan ikan, udang dan sayur-mayur, dua kali membuat cookies merupakan ‘kejayaan kecil’ bagi saya  (senyum lebar ^___^).

Seperti yang saya katakan di atas, saya lebih gemar memasak lauk-pauk berbanding kuih-muih, kek dan segala yang ada sangkut paut dengan majerin dan tepung.  Jadi, setelah dua kejayaan kecil ini saya sedar sesuatu bahawa saya boleh cuma ada sedikit rasa malas untuk mencuba yang menjadi tembok besar cina yang menghalang untuk bergerak dan berubah. Dan, bila kita mahu bergerak mulakan dengan ceria baru bersemangat!

Tembok besar kemalasan itu harus diruntuhkan..hiyak!

Kali ini saya mengadun bahan-bahan untuk membuat cookies bukan atas dasar terpaksa tetapi lebih kepada rela. Bila kita buat dengan kerelaan maka akan lahirlah rasa senang dan gembira dalam bekerja. Walaupun hasilnya mungkin kurang memuaskan tetapi kita akan merasa kepuasan.


1st attempt, oat roll cookies :)

oat coklat 'tak berupa'..(don't judge cookies by its look :D)


Akhir kalam, marilah ‘BERBAKTI DENGAN CERIA (BAKTIRIA!)’ :D


SALAM RAMADHAN UNTUK SEMUA!

note : Insyaallah tahun ni tak perlu order cookies lagi sebab dah ada 'chef amatur' yang menggantikan 'chef mak' yang dah 'pencen' dari membuat cookies. Air tangan kita sendiri lebih terjamin halalan thoyyiban dari beli di luar kan.

  
Yang berusaha,


chef amatur ^,^v

Tuesday, April 10, 2012

Tiadalah Sesuatu Tanpa Izin-Nya

Bismillah walhamdulillah...

Pulang dari kelas memandu dengan hati berperisa sedih dan kecewa. Entah di mana silapnya, saya asyik gagal saja di bukit. Walhal, dalam kelas-kelas sebelum ni, bukit la yang paling saya berjaya dengan jayanya (hehe). Saya kira mungkin kerana hampir 3 minggu saya tak pegang stereng, jadi ada sedikit cuak dan janggal di situ (benda dah lama tinggal). Namun alhamdulillah, parking dan tiga penjuru saya mampu buat (boleh la tersenyum sedikit ^^,).

Dalam kepenatan saya muhasabah. Apa yang tak kena dengan saya hari ni? Di mana silapnya?
Saya minta Allah tunjukkan silapnya dan oh, saya sudah jumpa. Silapnya di situ, persediaan saya.

Persediaan paling utama adalah kebergantungan hati kita kepada Allah. Saya akui saya kurang berdoa hari ni. Berdoa minta dipermudahkan urusan belajar, mudah memahami dan menangkap setiap apa yang diajar, mudah dan lancar dalam pergerakaan. Ya saya kurang minta itu!

Mungkin kerana ini kelas yang ke-empat dan saya agak overconfident di situ memandangkan kelas-kelas sebelum ni saya selalu pass dengan jayanya (tu la sapa suruh tak dengar pesan cikgu "jangan overconfident"). Kalau selalu, daripada sebelum keluar bilik hingga dah pegang stereng, doanya tak putus-putus dalam hati.

Sehebat mana pun kita, semantap mana pun persediaan kita, tanpa izinNya tak ke mana jua. Saya nampak itu pada diri saya hari ini. Dekat bukit saya mahir dengan kaedah 3-2-3 tapi Allah izin saya tak boleh buat. Kecewa la jugak kan sebab selalu kita boleh tapi hari ni tak.

Akhir kalam, saya kira Allah sedang berbicara sambil meraih saya dalam dakapan-Nya. Berbicara bahawa "kamu itu hamba-Ku. Seluruh hidupmu dalam genggamanKu. Mengapa kamu tinggalkan Aku sedang Aku sentiasa ada untukmu. Usah rasa diri besar bila dah pandai kerana kepadaian itu pun dari Aku dan Aku berhak mengambilnya."

Selepas ni ingat ya, dalam apa-apa hal pun Allah tu nombor satu. Faiza azzamta fatawakkal 'ala Allah.

Friday, February 10, 2012

Mesej Terakhir

Bismillah walhamdulillah...


mesej terakhirku untuk kamu [link]



[Lagu Sound of Reason, Shoulder to Lean berbunyi]

Masuk kali ni, entah berapa kali mesejnya masuk. Dia yang tidak ku tahu siapa gerangannya tiba-tiba mahu berkenalan. 
Ku abaikan mesejnya.

Beberapa minit kemudian, handphoneku menyala lagi.

-Kenapa diam. Saya ikhlas nak kenal dengan awak-

Wah..kepala sudah rasa sedikit berasap. Memang pantang betul aku bila ada gangguan-gangguan sebegini. Kalau di fb mungkin sudah kena ‘kick’.

Aku menarik nafas panjang. Istighfar.
Ya Allah, berikanlah ilham kepadaku untuk menyedarkan hambamu yang seorang ini.

Dengan lafaz bismillah mesej itu ku hantar. Moga ini menjadi mesej terakhirku kepada dia. Ku harap dia memahami pendirianku.

Awak, maafkan saya. Saya memang kurang berurusan dengan lelaki kecuali bila ada keperluan.
Ini prinsip saya sebagai seorang muslimah. Bukan mahu tunjuk baik cuma ingin menjadi yang lebih baik.

Ini ayat sehabis baik yang mampu ku taip. Sekadar menyatakan pendirian bukan mahu melukakan. Maaf. Noktah.

Dan benar. Itulah mesej terakhir yang ku hantar kerana tiada lagi respon daripadanya selepas itu.
Alhamdulillah…

Kadang-kadang kita perlu berani. Berani untuk menolak dan mengatakan tidak agar syara’ terjaga dan keselamatan terpelihara. Tak kira kita ini lelaki atau wanita.

Risau melihat berita-berita yang memenuhi dada akhbar. Gadis-gadis yang termakan pujukan dan akhirnya hilang kehormatan. Gadis-gadis yang ditipu dan dilarikan ke negara jiran. Sungguh aku sangat takut itu. Moga Allah memelihara kita daripada fitnah dunia.

Kepadamu ukhtiku, saudari seislamku,
Peliharalah akhlak Islam dan kehormatan kita,
Jangan mudah kalah dengan madah indah,
Bicara manis sang pemuda.

Ingat,
Lelaki yang baik itu tidak akan sengaja berbicara denganmu,
Melainkan hal yang perlu.
Kerana mereka faham apa yang Islam mahu.

 Note : - Saya pantang lelaki yang 'serah leher' dan suka 'mengayat'. Terus hilang ke'macho'an dan
              ke'hero'annya di mata saya.
              Mungkin mereka rasa perempuan ni senang cair.
             Tapi silap besar kalau perempuan itu adalah saya.

          - Saya tak ada masalah nak berurusan jika ada keperluan.

          -  Dunia akhir zaman. Susah nak meletakkan kepercayaan kepada orang lain. 
            Jadi, bila orang memberi kepercayaannya kepada kita, jagalah sebaik mungkin.


Aku si kaktus,

Saturday, January 14, 2012

Rasa Tidak Best, Kenapakah?

Bismillah walhamdulillah..

(Entri ini sekadar coretan hati untuk memuaskan rasa. Boleh diabaikan jika kalian rasa tidak penting. -terimakasih- )

Alhamdulillah..
Usai sudah exam yang memeningkan kepala,
mendebarkan jantung,
meloyakan tekak (macam-macam dia nih. hiperbola je lebih).
Tapi sungguh la rasa tak sihat pun sepanjang exam tu.

Baiklah. Abaikan hiperbola tu.
Pendek kata sungguh tidak tenang hidup sepanjang exam berlangsung.
Makan tidur dengan buku (padahal sempat je layan youtube. Ustaz Azhar Idrus dengan Zizang lah, Faradyable lah..).

Dan, bila sudah tamat exam.
Pastilah rasa bahagia bukan! ^^,

Tapi saya tak begitu.
Memang seronok.
Tapi,
ada rasa kosong dalam diri.
Entah mengapa. =,='

*            *            *            *            *

Alkisahnya, semalam (13/1/12) merupakan paper terakhir saya iaitu madah (subjek) 'Ulum Hadith.
Lega rasanya. Sampai saja di bilik terus 'memengsankan' diri di atas katil. Konon-konon tak cukup tidur la selama ni, heh..

Dan bila bangun, rasa kosong.
Setelah makan, solat dan baca Quran, rasa tak tau nak buat apa.
(sebab selama ni selepas buat ketiga-tiga di atas tu terus mengadap buku)

Godek-godek internet namun rasa macam tak ada yang menarik. Bosan.
Nak belek-belek buku yang ada di rak tapi tak ada semangat nak buat begitu.
Mintak movie Harry Potter dengan kawan. Tak sampai 15 minit tengok dah tutup. Boring.

Sudah. "Kenapa dengan aku nih ?", berteka-teki hati saya.
Last sekali call mak. Lega la sikit setelah 'bersosial' dengan mak.
Mak kata "hupdate la blog..kot-kot boleh mengubat rasa..hehe". "tak dak mood la mak..huu.."
Sebenarnya nak 'bersosial' dengan roomate tapi semua pergi 'bersosial' di luar.
Tinggal sorang saja yang tengah tekun study sebab ada exam hari ni (selamat berjuang roomateku seorang! ^^,)

Kosong bila ia berlalu. kredit : deviant art [link]


Sungguh rasa kosong yang amat.
Saya koreksi diri.
dan mula sedar bahawa..

Sepanjang exam tu saya seakan lalai.
Lalai dengan study. Asyik fikir study saja.
Bukan tak  baca Quran.
Bukan tak ada 'dating' dengan Dia malam-malam.
Tapi, dalam buat semua tu ruh keimanan seakan tidak bersama.
Yang ada ruh study saja.
Asyik fikir berapa bab lagi yang belum cover (masyaallah..parah ni)

See.sebab tu bila dah habis exam, dah tak ada apa nak study, hati rasa kosong.
Ruh study yang biasa mengisi hati sudah tiada.
Jika ruh Iman yang mengisi hati, pasti hidup rasa terisi.
Ruh itu akan sentiasa bersama dengan kita.
Kerana keimanan tak akan terpisah dari kehidupan
melainkan kita yang memisahkannya.

Sebab itulah orang yang asyik bersuka-ria, berfoya-foya tidak pernah rasa puas.
Dalam hati cuma ada ruh berfoya-foya. Dan ruh tu hanya ada dalam suasana-suasana hiburan.
Bila tak ada hiburan, ruh berfoya-foya pun tak ada, hatinya jadi kosong. Hidup rasa tak terisi.

Sungguh la hati ni tak boleh dibiar kosong tanpa ruh Iman,
kalau tak syaitan yang berperanan.

Nak terisi hati dengan ruh Iman bukanlah kehidupan kena statik,
tak boleh nak gelak-gelak, nak 'bersosial' dengan teman-teman.
Kena baca Quran atau dengar tazkirah memanjang.
Tak..tak..
Nak ada ruh Iman, hati tu kena sentiasa connect dengan Dia.
Gelak kita, seronok kita, tekun kita jangan sampai lupakan Dia.

Sekarang saya rasa,
alangkah bestnya kalau saat ni bersama teman-teman berbulatan cinta,
alangkah bestnya kalau ketika ni bersama teman-teman berkonferens ria, 
alangkah bestnya kalau time ni bersama teman-teman bermukhyyam gembira.
Rindu suasana membina Iman dan amal.

Akhir kalam,
ini pengalaman,
pengalaman yang mendidik.
Jadikanlah pengajaran.
Selalulah isi hati dengan ruh Iman.

Jika dunia yang dikejar,
diri akan penat sebab dunia akan terus berlari menjauhkan diri.
Jika akhirat yang dikejar,
dunia akan datang berlutut di sisi.
So, pilihlah nak kejar yang mana ^_^


note : -'bersosial' itu maksud saya hang out with someone dalam konteks kebaikan.
          -malam tadi plan nak join halaqah maya tapi internet sangat ciput. Tak dapat dengar dengan  
           clear. Sedih benor.
          - selamat bercuti kepada semua student universiti terutama warga UIA..^^, 
            Moga cuti kita bermanfaat!
         - سأرجع إلى بيتي جنتي غدا. Pray for my journey! ^^

Saturday, October 22, 2011

Dakwatku kering.

Bismillah walhamdulillah...

Apa khabar kalian..?? Tertanya-tanya masih adakah yang sudi menyelak catatan saya ini setelah lama tidak menumpahkan 'dakwat' di atas lembaran-lembarannya.

Sungguh, 'dakwat' saya kering. Kehabisan mungkin. Entah mengapa saya belum mampu untuk refill. Syukur, hari ini Allah sudi meminjamkan sedikit 'dakwat'Nya kepada saya. Dapatlah saya mencoret sebaris dua. Dan untuk 'dakwat' yang selebihnya saya perlu usaha sendiri untuk menambahnya.

Saya mahu 'dakwat' yang dipinjamkan sedikit ini bertambah agar saya mampu mencoret kembali. Mencoret untuk kekuatan diri dan berkongsi kekuatan dengan kalian. Mencoret untuk membangunkan hati ini juga hati kalian. Moga sama-sama kita mampu berlari kencang mengejar redhaNya.

Kalian doakanlah saya ya..Moga saya terus istiqomah.

Sebelum pena diangkat, izinkan saya berkongsi nasyid ini.
Bait-baitnya sangat kena dengan situasi saya kini.


Sami Yusuf - Make Me Strong

I know I’m waiting
Waiting for something
Something to happen to me
But this waiting comes with
Trials and challenges
Nothing in life is free

I wish that somehow
You’d tell me out aloud
That on that day I’ll be ok
But we’ll never know cause
That’s not the way it works
Help me find my way

My Lord show me right from wrong
Give me light make me strong
I know the road is long
Make me strong

Sometimes it just gets too much
I feel that I’ve lost touch
I know the road is long
Make me strong

I know I’m waiting
Yearning for something
Something known only to me

This waiting comes with
Trials and challenges
Life is one mystery

I wish that somehow
You’d tell me out aloud
That on that day you’ll forgive me
But we’ll never know cause
That’s not the way it works
I beg for your mercy

My Lord show me right from wrong
Give me light make me strong
I know the road is long
Make me strong

Sometimes it just gets too much
I feel that I’ve lost touch
I know the road is long
Make me strong
Wallahualam...

Yang mencari kekuatan hakiki,

Monday, June 20, 2011

I'm a 'Grannysitter' - Amanah Baru


Bismillah walhamdulillah...

Dalam tempoh cuti ini ramai yang bertanya apa yang aku lakukan. Aku tidak segan untuk menjawab yang aku hanya berada di rumah. Mungkin ada yang terfikir, “tak bosan ke duduk rumah lama2?” . Setakat ini jawapanku, “aku mampu hadapi kebosanan itu”. Mustahil aku tak bosan. Tapi kebosanan itu terubat kerana 24 jam aku di rumah alhamdulillah semuanya terisi. Kalau tak ada apa-apa sangat nak buat, laptop inilah yang menjadi penemanku. Merayau-rayau di alam maya dah jadi hobi terbaru.

Kalau ditanya lagi “buat apa sepanjang di rumah?”.  Selain membantu mak membereskan kerja-kerja rumah, aku dapat amanah lain dari Allah iaitu jaga tok yang lumpuh akibat strok. Teringat ketika di awal ujian itu menimpanya, makan, solat, salin lampin dan sebagainya, semua  dibuat di atas katil. Kira dari A to Z la semua orang kena tolong.

Hiasan je..


Tapi sekarang, alhamdulillah dia semakin pulih walaupun tak sepenuhnya. Sudah boleh duduk sendiri, menyuap nasi, mengesot ke bilik air dan memakai baju (walau tertatih-tatih) .Tinggal tak boleh berjalan saja. Jadi, aku cuma tolong pakaikan lampin, ajar dia solat. Kalau dia buang air pun kena tengok-tengok juga. Takut tak bersih. 

 Nampak simple ya? Yalah, apalah sangat kalau setakat pakai lampin, ajar solat, bagi makan. 
Huh,  nampak saja simple tapi….
Tapi disebalik tu, macam-macam benda Allah uji.

Yang berat bukan nak urus dirinya tapi nak ‘urus’ perasaannya. Perasaan sensitif, mudah merajuk, selalu keliru (lain yang kita cakap, lain yang dia faham) dan keadaannya yang sering tak stabil. Paling tak tahan kalau tengok dia menangis. Dan memang saban hari, kalau tak control, ada saja benda yang dia nak buat sebagai modal menangis. Bila dah start menangis, habislah…Susah dah nak pujuk. So, sekarang kalau tak makan pujuk dan nak menangis juga,  kami biarkan saja. Biar dia menangis puas-puas dan stop sendiri. Kalau dihalang nanti makin menjadi-jadi (tapi kami tetap try prevent dia dari menangis).

Orang  kata mengendalikan mesin lebih mudah daripada mengendalikan manusia. Memang benar bin betul pun. Itu yang aku rasa sekarang.
Kerana manusia punya perasaan, maka perlu lebih cermat dalam mengendalikannya. Tambah-tambah orang tua seperti tok yang 'fragile', mudah ‘retak’ dan ‘pecah’ kalau tak pegang betul-betul.
  
Kadang-kadang rasa letih jugak. Tapi, kena ingat ini amanah. Bukan amanah biasa-biasa tapi amanah dari Allah. Macam mana pun kena laksanakan jugak. Takut Allah tanya tak tau nak jawab apa.

Sungguh aku tak kuat untuk menggalas amanah ini andai tanpa pertolongan Allah.
Dan aku yakin pertolonganNya amat hampir.

"Ya Allah, hadirkanlah pertolonganMu selalu. Kerana hanya pertolonganMu sumber kekuatanku"

note : my life changed 180 degrees! (please be strong...!)

Sunday, June 19, 2011

I'm a 'Grannysitter'’ - Intro


Bismillah walhamdulillah

“Bukan mudah menjaga orang tua kerana di sana ada syurga. Dan syurga itu mahal harganya. Maka pasti ujian-ujian itu tetap ada ”

Sungguh ini pengalaman berharga yang Allah titipkan buat saya. Pengalaman yang mengajar seribu satu makna. Tentang hakikat sabar, syukur dan redha. Dan mengamalkannya tak semudah bicara. Juga ibrah-ibrah lain yang saya kutip sepanjang menjaga nenek.

Kerana saya rasakan pengalaman ini sangat bermakna, maka ingin saya coretkan di sini. Bukanlah untuk kalian semata tetapi untuk diri saya sebenarnya. Agar disaat lemah, bila menyelak kembali coretan-coretan ini mampu mengembalikan kekuatan diri.

Fikir punya fikir, maka inilah yang hadir untuk coretan khas ini.
I’m a ‘GRANNYSITTER’
(kalau jaga baby dipanggil 'babysitter'. So, jaga nenek mestilah jadi 'grannysitter' kan. Tak gitu...??)

Mungkin gaya penulisannya akan sedikit berubah kerana ia lebih kepada diri saya. Untuk kalian, jika rasa ada yang boleh dikutip, sila-silalah. Mana tau ada yang boleh dijadikan bekalan dalam perjalanan kehidupan.
Jadi, buat kalian yang sudi menyinggah ke sini, selamat membaca
I'm a ‘GRANNYSITTER’

Note : - Maaf ye, ni bukan cerpen. Saya tak berbakat nak bercerpen. Pernah cuba-cuba 
               buat tapi selalu stuck di tengah jalan (‘=.=) . Akhirnya…dustbinlah tempatnya..
           - Terfikir pulak bila nak start post tentang pengalaman ni. Emm…just wait n see…


Friday, March 4, 2011

Zaman indahku

"Bismillahirrahmanirrahim...Alhamdulillahirabbil 'alamin..Arrahmanirrahim...", tenang suara imam muda itu melantunkan al-Fatihah, menerobos ke segenap hati para makmum. Masing-masing kusyuk dan tenggelam dalam keindahan solat terawih berjemaah. Suasana hening dan syahdu itu memenuhi segenap ruang musolla Ma'ahad At-Tarbiyah Al-Islamiyah.

Pada ketika itu, sekumpulan kanak-kanak sedang riuh bermain di kawasan tempat letak kereta. Maklum saja hari itu hari khamis dan ramai yang datang berbuka puasa di MATRI. Maka inilah peluang anak-anak itu bertemu kawan-kawan sebaya mereka. Dalam ramai-ramai itu kelihatan tiga empat orang kanak-kanak perempuan sedang berlarian ke sana ke mari. Ya, riang sungguh mereka.

Penat bermain, kesemua kanak-kanak perempuan kembali ke dalam musolla. Ingatkan mahu solat rupa-rupa sambung bermain. Memang dasar kanak-kanak. Bermain saja kerjanya. Tiba-tiba,

"Kakak, dah solah terawih?", salah seorang kanak-kanak yang dipanggil kakak itu terdiam sebentar seraya berpaling ke arah suara itu. Kelihatan ibunya terjegat memandangnya. Terserlah ketegasan  di wajah si ibu.

"Gulp...habislah aku...",seketika terasa kering darah di muka. Pucat. Kalau hari lain, ketika imam membaca tahiyyat akhir, dia segera bersimpuh di belakang makmum. Kononnya bersolat juga. Tapi hari ini tidak. Maka ter'kantoi'lah si kanak-kanak 9 tahun itu dengan ibunya.

*    *   *   *  *

Kisah di atas adalah kisah benar seorang kanak-kanak yang kini telah meningkat dewasa. Dan kanak-kanak itu adalah saya. Bila diingat-ingat kembali kisah zaman riang-ria si kecil, saya tertawa sendiri. Sungguh saya memang si kecil yang nakal, sering memeningkan kepala emak.

Emak selalu tegas dalam mendidik. Namun, tegasnya dalam lembut, bukan dalam keras. Marahnya dalam sayang, bukan dalam benci. Jika ada sikit kesalahan yang saya lakukan, emak akan segera betulkan. Walau sesetengah ibu mungkin mengaggap kesalahan itu tak perlu ditegur kerana anak masih kecil namun emak tidak. Katanya, dia mahu membiasakan saya sejak kecil supaya bila telah akhir baligh, saya sudah tahu mana yang dikendaki syara' dan mana yang tidak. 

Hari ini, ketika telah menginjak ke angka 20, saya mula merindui zaman indah itu. Zaman keriangan tanpa beban. Yang tahu hanya bermain, bermain dan bermain. Walau sering dimarahi dek kenakalan namun teguran demi teguran itu yang membina peribadi saya hari ini. Menjadikan saya berusaha untuk menjadi muslimah yang sebenar.



 Zaman itu telah jauh saya tinggalkan, zaman bermain. Kini, hanya masa hadapan yang tak pasti sedang menanti untuk saya corakkan dan warnakan dengan keindahan Islam. Adakah saya mampu ???


Wednesday, February 9, 2011

Final Exam + Baitul Muslim

Bismillah walhamdulillah...

Pagi rabu yang indah ini Allah masih memberi saya peluang menconteng-conteng di dinding blog ini..syukur..syukur...Ya, pagi ini memang indah kerana saya sedang bercuti (alhamdulillah..) !!
Emm..cuti la sangat tapi buku kena baca tau sebab hari ni dah start revision week (sebab tu la saya kata cuti, tak de kelas la katakan..hehe..). Tinggal lagi beberapa hari sahaja sebelum final exam bermula. Bila final?? 17hb Febuari...

Dah bersedia ke untuk final ni?? Jawapan saya, wallahualam....
Saya sedang mengumpul semangat yang hilang entah ke mana (tercicir di tengah jalan mungkin semasa saya pulang ke Penang beberapa minggu lalu). Aduh..finalnya tak lama lagi tapi masih belum punya semangat yang berkobar-kobar untuk melakukan revision (bahaya nih). Walaupun teman-teman saya mengatakan "ko tak payah masuk exam pun tak pe. Carried mark dah bagus" tapi saya bukan nak sekadar lulus atau dapat B+, saya nak A dan A+. Maka, ada semangat atau tak de, saya tetap kena study jugak. Mohon doa agar Allah bagi kekuatan kepada saya untuk menghadapi gangguan-gangguan yang menghalang saya untuk study.

Di celah-celah revision week ni ada satu program menarik yang akan diadakan pada 12hb bertempat di UiTM Shah Alam. Hati sudah mula berbelah bagi. Nak pergi, tak nak, nak pergi, tak nak...dan akhirnya...ya, insyaallah saya pergi. Hajat utamanya untuk mendapat pengisian rohani sambil bertemu teman-teman dan senior-senior (especially k.Ruqayyah).  Moga pertemuan itu mampu menambah kekuatan sekaligus membantu peningkatan diri saya.




Meskipun semakin hampir dengan final exam tetapi rasanya tak salah untuk saya spend satu hari untuk menghadiri program tarbiyah sebegini. Sejak dari bangku sekolah, saya dan teman-teman selalu dipesan jangan kerana mengejar akademik menjadi alasan untuk lari dari tarbiyah. Dan jangan pula kerana ingin aktif dalam dakwah dan tarbiyah, akademik berciciran. Orang kata apa TAWAZUN. Ya,mesti ada tawazun, keseimbangan. Insyaallah beberapa hari sebelum program ini saya akan cuba pulun untuk cover beberapa subjek.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menghadirkan diri ke program di atas, silalah. Percuma tu tapi tempat terhad. First come first serve...

Doakan saya ya kalian..moga saya terus kuat dan sukses untuk Islam. Doakan juga agar saya dan teman-teman lulus dengan cemerlang (A) dalam 6 subjek ini : Mukhtarat Min Al-Hadith An-Nabawiyah, Madkhal Al-Fiqh wa Usul Fiqh, Al-Hadharah Al-Islamiyah, Intro. to Human Sciences, Computer dan Intro. to Critical Thinking.








Tuesday, October 26, 2010

Langkah baru....Azam baru...


Alhamdulillah...Tanpa jemu kalimah ini dilafazkan...Akhirnya, setelah lebih tiga minggu berehat di rumah, kini saya kembali semula ke 'pangkuan' CFS IIUM (ala-ala jejak kasih pulak..).

Alhamdulillah, sudah selamat meng'add' and 'drop' subjek. Cuma satu subjek yang belum boleh di'add', Introduction to Critical and Creative Thinking Skill (CCT). Entah apa masalah sistem tu. Emm...biasala kan, sistem buatan manusia pasti ada kelemahannya. Sistem Allah jua yang sempurna.

 Kalau nak tahu, semester ni adalah semester terakhir saya di CFS IIUM Nilai. Nampaknya subjek sudah bertambah. Daripada 4 subjek pada sem lepas telah bertambah menjadi 6 subjek. Hai..nampaknya usaha kena lebih lagi. Saya berhasrat untuk menambahkan lagi A dalam result sem ni kerana pada saya jika tiada A itu maknanya usaha saya masih belum maksima. Allah memberi berdasarkan usaha kita kan. Alhamdulillah, result sem lepas ada juga beberapa A. Untuk subjek yang mendapat B saya ambil sebagai motivasi untuk lebih berusaha pada sem ni. Ya, BERUSAHA..!!! :)

Satu lagi yang menarik perhatian saya adalah tentang keadaan bilik. Alhamdulillah..saat melangkah masuk ke 'ghurfah' D-2-5, saya terasa ada 'aura' baru. Nampak lebih kemas dan bersih bersama susun atur baru. Bilik makin luas kerana katil makin berkurang dan penghuni juga sudah sedikit (9 orang saja daripada 17 orang sebelum ni). Dan hati saya sangat seronok..:). Bertambah semangatlah saya nak belajar (alhamdulillah...)

Dek kerana bilik yang nampak seakan berwajah baru, maka saya pun berazam untuk 'mewajah barukan' hati dan kehidupan saya (entah betul ke tidak istilah tu). Berazam untuk memperbaharui diri dan iman dalam hati. Berazam untuk memperbaharui hubungan dan cinta saya pada Dia. Dan saya sangat berharap agar Dia masih sudi memimpin diri agar selalu terarah ke jalan untuk meraih cintaNya, membantu saya dalam melaksanakan segala taklif yang dipikul. Moga hidup saya sentiasa dilandasan cintaNya. Ameen...


Doakan saya ya kalian... Saya juga doakan agar Allah sentiasa bersama-sama kalian mengharungi samudera kehidupan...:)

note : *  sedang berusaha untuk 'maintain' hamasah dan motivasi diri. Berusaha agar tak jadi seperti lilin, bila 
  ditiup angin cahayanya padam...
         *  bersedia untuk menelaah subjek-subjek berikut.. 
  •  INTRO. TO HUMAN SCIENCES
  •  MUKHTARAT MIN AHADITH AL NABAWIYYAH WA SHARH
  • MADKHAL ILA AL FIQH WA USUL AL FIQH 
  • AL HADARAH AL ISLAMIYYAH 
  •  COMPUTER I
  • INTRO. TO CRITICAL AND CREATIVE THINKING SKILL
                                                                     

Wednesday, July 28, 2010

Kesibukan ini...

Alhamdulillah...Allah telah memberi saya kekuatan untuk mencoret lagi di sini...Sesungguhnya tiada kekuatan melainkan Allah....

"kesibukan ini....
adakah aku makin dekat atau makin jauh dari DIA...???"

Begitulah status fb saya baru-baru ini.
Menjejakkan kaki ke semester pertama tahun kedua di CFS  IIUM (Nilai), Allah telah memberikan saya beberapa taklifan, tugas. Dan, saya telah menerimanya walau ada yang diterima secara paksa rela. Saya yakin ada sesuatu yang ingin Allah berikan disebalik tugas-tugas yang Dia galaskan di bahu saya. 


Semakin lama, saya makin sibuk.
Dan saya dapat rasakan ahli bilik saya juga perasan perkara ini.
Beberapa kali saya ditegur dek kurang lekat di bilik...
"Nak buat macam mana. Dah ada tugas kena buat. Kalau tidak, memang nak duduk di bilik je..", dan saya harap mereka faham situasi saya..


Hakikatnya kesibukan itu baik. Maksud saya sibuk dalam melakukan perkara-perkara yang bermanfaatlah.
Bila kita sibuk dengan benda baik sekurang-kurangnya masa kita tak terbuang dengan sia-sia. Namun, sejauh mana kesibukan itu membawa kita dekat dengan Dia atau kita makin jauh dari Dia.


Dekat atau Jauh???


Persoalan ini saya ajukan pada diri. Hakikatnya kesibukan mampu membawa kita lebih dekat dengan Allah. Bagaimana...??? Apabila kita sibuk dan merasa kesempitan waktu, pada masa inilah hati akan segera kembali kepada Allah, memohon agar Allah curahkan ketenangan dalam hati dan dilapangkan segala urusan. Setiap detik yang berlalu akan terasa lebih berharga bila kita tahu kita punya banyak perkara yang perlu diselesaikan.
Agar hati sentiasa terikat dengan Allah, adalah dengan menjaga ibadah, terutama solat dan al-Quran. Solatlah dengan kusyuk dan penuh tawadu'. 


Bukan bermakna saya menulis ini, saya sentiasa istiqomah melakukannya. Tidak... Akan tetapi, saya dapat rasakan perubahan dalam diri dan kehidupan apabila saya melakukannya. Paling penting, pastikan hati sentiasa bersama denganNya. Bila hati terasa telah jauh, cepat-cepat bawa hati dekat kembali denganNya.

Jangan Mengeluh...


Allah berfirman dalam al-Quran:
"Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh (19). Apabila ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah (20).
                                                                                                                (al-Ma'arij: 19-20)

Ya, itulah sifat kita bukan. Kita sering mengeluh sibuk (saya sendiri mungkin). Namun, berapa ramai antara kita yang redha dengan ujian sibuk ini...??? Bagaimana hendak redha..??

Mari kita lihat dalam ayat berikutnya, Allah berfirman:
"Kecuali orang-orang yang melaksanakan solat (22). Mereka yang tetap setia melaksanakan solat (23)."
                                                                                                                 (al-Ma'arij: 22-23)

Allah ulang lagi tentang kepentingan solat ini,
"Dan orang-orang yang memelihara solatnya (34)" 
                                                                                                                  (al-Ma'arij: 34)

Solat, itulah antara wasilah terbaik untuk melahirkan sifat redha. Namun, solat yang bagaimana..??
Ya, solat yang dilaksanakan dengan penuh rasa kehambaan. Terjaga waktunya, bermakna tidak melewat-lewatkannya tanpa sebab.


Akhir kalam,

Dekatkanlah diri dengan Allah dalam senang atau sukar,
semasa lapang atau semasa sibuk. Dan solat yang sempurna adalah jalan terbaik ke arah mendekatkan diri dengan Allah. Redhalah...dan jangan mengeluh....=)..

Moga Allah redha dengan kita....dan kita juga redha dengan Allah...^___^

p/s : enggak punya banyak masa untuk menulis panjang-panjang...kalau saya panjangkan lagi post ni agak-agak nak baca ke..??

Wednesday, July 21, 2010

Saya-diakhir usia belasan tahun....

Bismillah walhamdulillah....
Betapa bersyukurnya saya. Dia yang Maha Baik  masih sudi meminjamkan saya segala kepunyaanNya.



zwani.com myspace graphic comments
Myspace Happy Birthday Comments


Allah...sudah 19tahun saya meminjam kepunyaanMu. Namun, hamba sangat gusar andai segala pinjamanMu tidak hamba jaga dengan baik, tidak hamba gunakan sepenuhnya untuk mendekatkan diri ini dengan Mu, beribadah kepada Mu. Hamba khuatir bila memikirkan betapa sedikitnya sumbangan hamba kepada Deen tercinta ini, ISLAM...Ya Allah, moga kau sudi memaafkan hamba...

Hari ini, tarikh ini, tahun ini adalah kali terakhir saya bergelar insan belasan tahun (tak nak guna remaja, tak minat..huhu..). Tahun depan tiada lagi istilah belasan tahun untuk saya. Emm,,,dah besar rupanya aku ni (baru sedar ek..??). Sewajarnya peribadi dan pemikiran sejajarlah dengan penambahan usia ni kan, tapi...entahlah saya tak pasti diri saya bagaimana...Namun, saya tetap berusaha untuk jadi yang lebih baik, yang lebih tabah, yang lebih sabar, yang lebih solehah, yang lebih matang, yang lebih terjaga hatinya, yang dekat dirinya dengan Allah...

Oh, saya tak punya banyak masa untuk menulis ni..Walau apa pun, syukran jazilan kepada semua yang telah/ sedang/ akan memberi ucapan 'selamat hari lahir, sanah helwah, eid miladi, hepi bufday dan sebagainya' kepada saya lewat mesej atau facebook. Saya sangat-sangat menghargainya..thanks ya..!!

Buat mak tercinta, permata hati, pembaca setia blog saya (setia ka mak?? hehe..) terima kasih kerana telah melahirkanku ke dunia. Kau ibuku, murobbiku, qudwahku, sahabatku....tak pernah jemu dalam mentarbiyahku, sentiasa sabar dalam membentuk jiwaku menjadi seorang mujahidah, seorang daieyah...

Sebelum mengakhiri tinta ini, saya nak kongsi kata-kata yang di hantar oleh seorang kakak yang amat saya kasihi dan sangat dirindui...
"Sanah helwah! sweet 19! Bersyukur kepada orang yang menyakiti kamu kerana dialah orang yang menabahkan hati kamu, bersyukur kepada orang yang tak mengendahkan kamu kerana dialah orang memupuk berdikari kamu, bersyukur kepada orang yang menjatuhkan kamu kerana dialah orang yang memperhebatkan abiliti kamu, bersyukur kepada orang yang menyeksa kamu kerana dialah orang yang menguji kesabaran kamu"
Birthday Graphics




Doakan saya yang dah tua ni...! ! ! =) 


p/s :- teman saya dari mesir telah pulang ke tanah air...Deeni,,tak sabar nak jumpa kamu..!!
      - Tarikh keramat ini telah jatuh pada hari terakhir midsem examku....
          seronoknyer...!!!!

Friday, June 11, 2010

Dia beri kerana kamu mampu...

Alhamdulillah...bersyukur kepada Allah kerana masih diberi kesempatan untuk mencoret di sini...

Firman Allah:
   "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.(mereka berdoa'): Ya Tuhan kami, janganlah engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah engkau bebankan kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tak sanggup memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolongolah kami terhadap kaum yang kafir"
                                                                                                                (Al-Baqarah: 286)

Seperti biasa di awal semester begini banyaklah briefing itu, briefing ini. Dan sebentar tadi saya baru menghadiri Hisbah briefing. Semasa briefing, fellow telah meminta kami mencalonkan beberapa orang sebagai president, vice president, treasurer, secretary dan beberapa biro lain. Dengan tidak semena-mena telinga saya terdengar seseorang menyebut nama saya..Hah..?!
Fellow minta saya ke depan. Saya hairan. Mata saya melilau mencari siapa gerangannya yang mencalonkan nama saya. Ahli bilik? bukan..Classmate?? juga bukan..habis?? ya Allah..,,adik 1st year rupanya.
"Macam mana tiba-tiba sebut nama aku nih..?". Saya berharap tidak tercalon tapi Allah tahu segala-galanya.  Adik 1st year itu adalah jiran sebelah bilik. Nak kata kenal rapat tak lah juga (saya sendiri terlupa namanya). Tapi itulah Allah telah susun semuanya.

Dalam rela dan terpaksa saya merima jawatan itu..vice president..
Hati ini mula dihinggapi kerisauan andai tak mampu menjalankan amanah yang diberi dengan baik memandangkan ada beberapa lagi amanah lain yang tergalas di bahu.

Saya sangat tidak gemar kerja-kerja mencatat (tapi tulis blog suka pulak), mencatat minit mesyuarat, membuat paperwork, proposal..Pendek kata kerja-kerja s/u, kalau boleh janganlah beri jawatan itu pada saya.
Namun, Allah izin saya ditakdirkan memegang post itu dalam satu kelab. Sungguh, saya rasa teruji. Saya hampir-hampir ingin melepaskan jawatan itu akan tetapi memandangkan ia adalah amanah seseorang kepada saya maka saya akan cuba lakukan yang terbaik.

Target saya untuk score dalam exam tahun ini dan saya tahu bukan mudah untuk mendapatkannya. Sekadar untuk berangan memang mudah tapi untuk menterjemahkannya menjadi realiti perlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Allah tetap akan uji atas apa yang kita hajatkan. Dan tugas-tugas ini juga mungkin salah satu ujian dari Allah. Apapun, saya selalu ingat pesan-pesan yang pernah singgah di telinga,
 "Jika kita bantu agama Allah, Allah akan bantu kita. Jika kita jaga hak Allah, Allah akan jaga hak kita. Jika kita selalu dekat dengan Allah, Dia juga akan selalu dekat dengan kita..."

"Jangan aktif di luar saja (bepersatuan, bermeeting, beraktiviti..dll) tapi studi pasif. Harus sedar tugas utama sebagai hamba Allah dan sebagai pelajar".

Di waktu ini, saya sedang cuba memujuk hati agar redha dengan apa yang telah Allah beri. Berusaha positifkan diri bahawa Allah tak kan biar hambanya bekerja bersendirian, Dia pasti akan bantu. Paling penting DIA BERI KERANA DIA TAHU KAMU MAMPU.

Inilah masa untuk mendekatkan diri denganNya,
inilah masa untuk menyusun kembali urusan hidup agar lebih sistematik,
inilah masa untuk menimba pengalaman,
inilah masa untuk bangkit lakukan perubahan...
Ingat Islam memerlukan orang-orang seperti kamu..
~pesanan untuk diri sendiri~

Thursday, May 13, 2010

Keluar dari zon selesa...

Alhamdulillah...puji dan puja hanya untuk Allah..moga rahmat dan kasihNya sentiasa terlimpah ke atas kita.

Sudah 3 bulan saya berbulan madu di rumah.
Tibalah masa untuk kembali ke medan ilmu,
kembali menggalas tanggungjawab sebagai pelajar,
kembali menghadap wajah-wajah lecturer,
kembali mengikuti kelas-kelas formal,
kembali menatap buku-buku arab dan inggeris,
kembali ke dunia kampus...

Sudah hampir 3 bulan saya bersama keluarga.
Tibalah masanya saya bersama teman-teman pula.
Ya, teman tidak sama dengan keluarga.
Bersama keluarga, ada ibu yang sedia mendengar segala celoteh saya,
ada ayah yang sabar melayan karenah saya.
Bersama teman, saya yang perlu bersedia mendengar celoteh mereka, saya yang perlu bersabar melayan karenah mereka... (moga mereka juga sedia dan sabar menerima saya..)

Sudah hampir 3 bulan saya menghirup udara segar rumah ini.
Terasa segar kerana aroma islami yang sentiasa memenuhi
udara rumah ini.
Enviromentnya juga masih terjaga dari debu dan asap jahiliyah yang menyesak dada.
Tibalah masanya saya menghirup udara kampus.
Udaranya yang saya kira telah bercampur-baur dengan debu dan asap itu.
Hup, hap, hup, hap saya dibuatnya.
Namun, ada juga tempat dan bahagian-bahagian tertentu yang membolehkan saya bernafas dengan lega...

Sudah hampir 3 bulan saya dalam zon selesa ini.
Walau hakikatnya tak boleh lari dari kerja rumah,
sekurang-kurangnya fikiran rasa tenang kerana tak terbeban dengan assignment, kuiz, exam dan segala bagai yang telah menjadi 'makanan' harian pelajar kampus.
Dan,,tibalah masa untuk saya menjamahnya kembali (nyam..nyam..nyam..)

Maka, adakah saya bersedia??
Keluar dari zon selesa menghadapi zon mencabar itu.
Tanpa persediaan, belum tentu saya dapat menjalani kehidupan dengan baik. (ya..sedia..1,2,3...)
Saya tahu, saya tidak dapat lari, dan tidak perlu lari kerana saya mesti hadapi. Kalau saya lari, siapa yang akan bantu teman-teman saya agar tidak terperangkap dalam udara yang melemaskan, agar dapat sama-sama bernafas dengan lega..

Tidak dapat tidak, saya mesti bersedia dan mesti memampukan diri.(caiyokkk..!!!)

Kalian doakanlah saya ya..supaya saya kuat dan tak lemas dalam zon mencabar itu..(^__~)

actually, i miss this place very much...huhu..


my class is here..

peaceful place..really like it..



note:
-will be going back to Nilai on 17 May..
-ready to be a taaruf week committee.. 
-ready to welcome new students..

Wednesday, April 21, 2010

~24hb..~

Alhamdulillah..syukur kpd Allah, Tuhan sekalian alam..Mga saya dan kalian sentiasa di bawah rahmat kasih sayangNya..(insyaallah)

24/4/2010...


Program palestin..
Nak pergi sangat..Tapi ada komitmen lain..


Tak mengapa..walau program apa pon yang saya bakal hadiri, yang penting niat..

"Jangan sebab ada kawan nak pergi aku pun nak pergi,
jangan sebab boring duduk kat rumah aku nak pergi,
jangan sebab semangat berprogram aku pun nak pergi,
jangan sebab nak jumpa adik-adik sekolah lama aku pun nak pergi,
memang perasaan-perasaan kat atas tu selalu menerjah,
tapi tu cuma sampingan,
niat utama LILLAHI TAALA.."
jangan lupa,,,La tansa,,,don't forget...

note: sekadar berpesan-pesan pada diri sendiri krn pernah 'kekecewaan' gara-gara niat yang tak betol/tak lurus/tak 100% krn Allah..

Man Ana...???

My photo
Kuliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences. International Islamic University Malaysia. Full time student and muslimah

Thanks for coming..i'll visit u back insyaallah..^^,

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Dalam sujud cintaku-Devotees



Apa kata anda??