Bismillah walhamdulillah...
Bersyukur ke hadrat Allah meski jam sudah melewati pukul 1 pagi tetapi Dia masih memberi kekuatan kepada mata, tangan dan seluruh anggota untuk menaip bait-bait perkongsian di sini..
Apa yang membuatkan saya masih boleh menahan rasa kantuk adalah kerana saya baru sahaja di'inject' sebenar tadi. Ya, saya telah mendapat satu suntikan semangat melalui satu diskusi ilmiah yang bertempat di Auditorium Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang bertajuk "KEAGUNGAN CINTA- Bunga Bukan Sekuntum, Kumbang Bukan Seekor, TETAPI...".
Lihat tajuknya saja sudah menarik ditambah pula dengan ahli panel jemputan yang cukup hebat dan amat saya kagumi, En. Ghazali Maarof (Abu Ridhwan). Mengikut perancangan asal, Ustazah Fatimah Syarha juga turut diundang menjadi panel. Akan tetapi atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, beliau tidak dapat hadir. Namun pada saya, kehadiran En. Ghazali sudah cukup untuk menghidupkan suasana majlis bersama dengan semangat dan gurauan santainya.
Maaf, terpanjang pulak intronya..Harap bersabar ya..^_^
CINTA FUJUR VS CINTA TAQWA
Permulaan diskusi, moderator telah melontarkan soalan tentang definisi CINTA.
Dan sungguh, cinta itu definisinya subjektif. Bergantung kepada penterjemah cinta.
Menurut ahli panel,
CINTA itu membangkitkan jiddiyah dalam mejalani kehidupan,
CINTA juga mampu menjadikan seorang manusia yang biasa menjadi luarbiasa
NAMUN,
CINTA juga mampu menjahamkan manusia,
CINTA juga mampu menghilangkan potensi diri,
DAN,
CINTA juga mampu melemparkan manusia ke dalam neraka (nauzubillahi minzalik..)
Firman Allah dalam surah As-Syam : 8,
“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan jalan ketaqwaan."
Cinta itu punya 2 potensi, samada ke arah fujur atau taqwa.
Mengapa disebut fujur dulu? Kerana cinta fujur itu mudah diperoleh manakala cinta taqwa itu amat sukar.
Apakah CINTA FUJUR??
Iaitu cinta berlandaskan dunia dan hawa nafsu semata. Cinta ini mudah dicari dan ada dimana-mana sahaja.
Dan apa pula CINTA TAQWA??
Iaitu cinta yang agung. Cinta yang bertunjangkan keimanan kepada Allah. Kerana cinta ini bukan cinta biasa maka jalan untuk mencapainya juga bukan mudah. Perlu ada kesungguhan dari dalam diri dan mujahadah yang tinggi.
REALITI CINTA HARI INI
Apabila disebut kalimah ' CINTA', apa yang bermain di fikiran kita?
Mungkin ada yang menjawab cinta kepada Allah, cinta kepada ibu bapa dan sebagainya.
Namun, hakikatnya apabila disebut tentang cinta pasti ramai yang menganggapnya sebagai cinta antara lelaki dan perempuan (sebelum nikah). Sehingga ada yang menganggap cinta itu kotor kerana definisi cinta yang suci itu telah disalaherti dan telah dicemari oleh kemungkaran yakni fujur. Maka jadilah cinta yang sebenar iaitu CINTA TAQWA (cintakan Allah dan segalanya yang dicintaiNya) kepada CINTA FUJUR (cinta dunia dan hawa nafsu).
Panel telah membawakan beberapa contoh hasil CINTA FUJUR. Antaranya, Seorang lelaki yang bingung untuk mengendalikan cintanya kepada 3 orang gadis sekaligus. Juga seorang gadis 16 tahun yang berhasrat untuk membunuh diri atau melakukan sesuatu kepada kandungannya yang sudah masuk kali ke-2. Dan banyak lagi contoh-contoh realiti yang berlaku hasil CINTA FUJUR ini. Kesemuanya menunjukkan betapa tiada keberkatan apabila cinta dikotorkan dengan dunia dan hawa nafsu. Bahkan pelbagai masalah pula timbul.
CINTA RASUL DAN PARA SAHABAT
Apakah wujud cinta pada zaman Rasul ???
Ya, sudah tentu. Bahkan cinta mereka sangat hebat. Kerana cinta mereka yang hebatlah mereka melonjak menjadi manusia yang luarbiasa hebat.Bagaimana cinta mereka?
Sudah tentu cinta mereka tidak sama seperti cinta yang ada pada hari ini.
Cinta mereka adalah cinta yang benar dan agung, cintakan Allah, cintakan perjungan, cintakan akhirat.
Cinta itu menjadikan sang pencinta menjadi ketagih. Ketagih untuk menagih cinta dari kekasihnya.
Begitulah cinta yang meresap ke dalam hati Rasul dan para sahabat.
Lihat saja Rasulullah, sanggup beribadah hingga bengkak-bengkak kakinya sedangkan baginda sudah maksum (sempurna).
Begitu juga yang berlaku kepada sahabat Rasul, Handzalah. Beliau sanggup melepaskan malam pertama bersama isterinya demi menyahut seruan jihad. Malah isterinya juga tidak keberatan melepaskan suaminya ke medan jihad. Semuanya tidak lain tidak bukan atas dorongan cinta yang mendalam kepada Allah iaitu CINTA TAQWA. Sungguh, siapa yang mampu berkorban seperti mereka ??
KONKLUSI
Marilah mengejar CINTA TAQWA tetapi berhati-hati kerana CINTA FUJUR sentiasa cuba menghasut dan merebut kita daripada CINTA TAQWA.
Semoga sedikit yang saya mampu coretkan ini memberi manfaat untuk semua. Banyak lagi input yang saya peroleh daripada diskusi ini namun maaf tak dapat nak kongsi semuanya, mata sudah kian memberat. Bersedia untuk lelap. Allahumma bismika ahya waamut...
~ moga Allah redha. Jumpa lagi ya..^_^ ~
note :
~ jazakillahukhairan khatira buat ukhti khalilah kerana telah menjemput sahabatmu dari
UIA ini.
~ sudah start mid-break. Tak lama lagi final akan menyusul. Ahh..cepat sungguh masa berlalu.
(time flowing like a river. But sometimes i failed to manage my time wisely..)





