Seuntai Rasa Seorang Tua
Dia melemparkan pandangan ke luar jendela,
Ingin membuang resah,
Yang bertenggek di tangkai rasa.
Hidup terasa hilang manisnya,
Bila tubuh tidak lagi berdaya,
Hanya mengharap ehsan anak dan saudara.
Hatinya makin hari makin sunyi,
Kesepian perlahan-lahan memamah usia senjanya,
Kudrat yang berkurang,
Jasad yang melemah,
Tiada upaya untuk melangkah,
Membuatkannya saban hari dihimpit resah.
Dari redup matanya,
Sesekali terbit airmata rindu,
Jiwanya meraung,
Sungguh dia rindu,
Pada anak-anak dan cucu,
Ingin saja dipenghujung usia ini,
Anak-anak sentiasa ada di sisi,
Namun apakan daya,
Anak-anak juga perlu bekerja,
Mencari nafkah untuk keluarga.
Hari ini tiada bezanya seperti semalam,
Menung dan terus termenung,
Menghitung usia yang tinggal beberapa hari cuma,
Dalam zikir yang beralun di bibir,
Dia pasrah menerima takdir,
Meski kini menumpang ehsan anak,
Dia cuba untuk redha,
Kerana itu ketentuanNya,
Di akhir usia senjanya.
-Insyeerah 2011-
Puisi yang terilham semasa menjaga tok (nenek) yang uzur. Strok yang melanda secara tiba-tiba telah melumpuhkan pergerakannya yang dulu cergas bertenaga.
Melihatnya yang uzur dan lemah, teringat kata-kata seorang penceramah (sir Rosdi), “ kita bermula dengan lemah dan kembali lemah bila menginjak usia senja. Cuma antara dua fasa kelemahan itu bagaimanakah kita?? Ingkar atau patuh pada Pencipta.”
Alhamdulillah, ketika masih sihat, tok seorang yang istiqomah dengan solat. Solat fardhu dan sunat selalu dilakukan. Malam pula diisi dengan tahajud. Aurat juga sentiasa dijaga. Meski ada tv besar di rumahnya, namun dia tidak berminat dengan kotak hitam itu kecuali menonton berita. Seorang yang kemas, kuat berkerja dan suka berdikari. Kerana dia tidak gemar menyusahkan orang lain, bila dalam keadaan lumpuh begini membuatkan dia tidak selesa kerana terpaksa meminta bantuan orang lain untuk memenuhi hajatnya.
Namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Dalam sekelip mata, sebahagian kudratnya hilang. Meski adakala dia seakan menyalahkan takdir, namun emak saya tak henti memujuk agar dia redha.
“Mak, Allah bagi mak sihat dah 80 tahun. Mak jadi macam ni baru beberapa bulan. Allah nak bagi mak rehat. Kena redha ya.”
-PRAY FOR US-


Salam alaik.
ReplyDeleteBagaimana keadaan tok Insyeerah skrg ni?
Moga semuanya ok.
menjaga org yg sakit terutama yg dah tua, sgt2 menduga kesabaran diri, moga terus kuat (=
membaca post Insyeerah ni buat saya terkenang kembali saat2 bersama kedua-dua arwah tok ketika diaorg masih hidup. Dari melihat mereka sihat, gembira, tiba2 bertukar sebaliknya. Dan pengakhirannya melihat mereka tiada. Allah.
semoga terus kuat dan sabar!
p/s : ops- maaf. Terpanjang plak (=
Owh...x mengapa..^_^
ReplyDeleteEmm..keadaan dia x menentu. kadang2 ok, kadang2 kurang stabil (y dimaksudkan tu emosinya..)
Memang kena banyak sabar la izzati.
Doakan moga Allah bagi kekuatan..=)