Pages

Tuesday, March 29, 2011

Seuntai Rasa Seorang Tua


Seuntai Rasa Seorang Tua

Dia melemparkan pandangan ke luar jendela,
Ingin membuang  resah,
Yang bertenggek di tangkai rasa.
Hidup terasa hilang manisnya,
Bila tubuh tidak lagi berdaya,
Hanya mengharap ehsan anak dan saudara.

Hatinya makin hari makin sunyi,
Kesepian perlahan-lahan memamah usia senjanya,
Kudrat yang berkurang,
Jasad yang melemah,
Tiada upaya untuk melangkah,
Membuatkannya saban hari dihimpit resah.

Dari redup matanya,
Sesekali terbit airmata rindu,
Jiwanya meraung,
Sungguh dia rindu,
Pada anak-anak dan cucu,
Ingin saja dipenghujung usia ini,
Anak-anak sentiasa ada di sisi,
Namun apakan daya,
Anak-anak juga perlu bekerja,
Mencari nafkah untuk keluarga.

Hari ini tiada bezanya seperti semalam,
Menung dan terus termenung,
Menghitung usia yang tinggal beberapa hari cuma,
Dalam zikir yang beralun di bibir,
Dia pasrah menerima takdir,
Meski kini menumpang ehsan anak,
Dia cuba untuk redha,
Kerana itu ketentuanNya,
Di akhir usia senjanya.

-Insyeerah 2011- 


Puisi yang terilham semasa menjaga tok (nenek) yang uzur. Strok yang melanda secara tiba-tiba telah melumpuhkan pergerakannya yang dulu cergas bertenaga.

Melihatnya yang uzur dan lemah, teringat kata-kata seorang penceramah (sir Rosdi), “ kita bermula dengan lemah dan kembali lemah bila menginjak usia senja. Cuma antara dua fasa kelemahan itu bagaimanakah kita?? Ingkar atau patuh pada Pencipta.”

Alhamdulillah, ketika masih sihat, tok seorang yang istiqomah dengan solat. Solat fardhu dan sunat selalu dilakukan. Malam pula diisi dengan tahajud. Aurat juga sentiasa dijaga.  Meski ada tv besar di rumahnya, namun dia tidak berminat dengan kotak hitam itu kecuali menonton berita. Seorang yang kemas, kuat berkerja dan suka berdikari. Kerana dia tidak gemar menyusahkan orang lain, bila dalam keadaan lumpuh begini membuatkan dia tidak selesa kerana terpaksa meminta bantuan orang lain untuk memenuhi hajatnya.

Namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Dalam sekelip mata, sebahagian kudratnya hilang. Meski adakala dia seakan menyalahkan takdir, namun emak saya tak henti memujuk agar dia redha.

“Mak, Allah bagi mak sihat dah 80 tahun. Mak jadi macam ni baru beberapa bulan. Allah nak bagi mak rehat. Kena redha ya.”
 
Apapun ini pengalaman. Bukan semua orang Allah pilih untuk dapat pengalaman ini. Moga redha dan sabar sentiasa bersama keluarga kami.

-PRAY FOR US-

Friday, March 4, 2011

Zaman indahku

"Bismillahirrahmanirrahim...Alhamdulillahirabbil 'alamin..Arrahmanirrahim...", tenang suara imam muda itu melantunkan al-Fatihah, menerobos ke segenap hati para makmum. Masing-masing kusyuk dan tenggelam dalam keindahan solat terawih berjemaah. Suasana hening dan syahdu itu memenuhi segenap ruang musolla Ma'ahad At-Tarbiyah Al-Islamiyah.

Pada ketika itu, sekumpulan kanak-kanak sedang riuh bermain di kawasan tempat letak kereta. Maklum saja hari itu hari khamis dan ramai yang datang berbuka puasa di MATRI. Maka inilah peluang anak-anak itu bertemu kawan-kawan sebaya mereka. Dalam ramai-ramai itu kelihatan tiga empat orang kanak-kanak perempuan sedang berlarian ke sana ke mari. Ya, riang sungguh mereka.

Penat bermain, kesemua kanak-kanak perempuan kembali ke dalam musolla. Ingatkan mahu solat rupa-rupa sambung bermain. Memang dasar kanak-kanak. Bermain saja kerjanya. Tiba-tiba,

"Kakak, dah solah terawih?", salah seorang kanak-kanak yang dipanggil kakak itu terdiam sebentar seraya berpaling ke arah suara itu. Kelihatan ibunya terjegat memandangnya. Terserlah ketegasan  di wajah si ibu.

"Gulp...habislah aku...",seketika terasa kering darah di muka. Pucat. Kalau hari lain, ketika imam membaca tahiyyat akhir, dia segera bersimpuh di belakang makmum. Kononnya bersolat juga. Tapi hari ini tidak. Maka ter'kantoi'lah si kanak-kanak 9 tahun itu dengan ibunya.

*    *   *   *  *

Kisah di atas adalah kisah benar seorang kanak-kanak yang kini telah meningkat dewasa. Dan kanak-kanak itu adalah saya. Bila diingat-ingat kembali kisah zaman riang-ria si kecil, saya tertawa sendiri. Sungguh saya memang si kecil yang nakal, sering memeningkan kepala emak.

Emak selalu tegas dalam mendidik. Namun, tegasnya dalam lembut, bukan dalam keras. Marahnya dalam sayang, bukan dalam benci. Jika ada sikit kesalahan yang saya lakukan, emak akan segera betulkan. Walau sesetengah ibu mungkin mengaggap kesalahan itu tak perlu ditegur kerana anak masih kecil namun emak tidak. Katanya, dia mahu membiasakan saya sejak kecil supaya bila telah akhir baligh, saya sudah tahu mana yang dikendaki syara' dan mana yang tidak. 

Hari ini, ketika telah menginjak ke angka 20, saya mula merindui zaman indah itu. Zaman keriangan tanpa beban. Yang tahu hanya bermain, bermain dan bermain. Walau sering dimarahi dek kenakalan namun teguran demi teguran itu yang membina peribadi saya hari ini. Menjadikan saya berusaha untuk menjadi muslimah yang sebenar.



 Zaman itu telah jauh saya tinggalkan, zaman bermain. Kini, hanya masa hadapan yang tak pasti sedang menanti untuk saya corakkan dan warnakan dengan keindahan Islam. Adakah saya mampu ???


Man Ana...???

My photo
Kuliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences. International Islamic University Malaysia. Full time student and muslimah

Thanks for coming..i'll visit u back insyaallah..^^,

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Dalam sujud cintaku-Devotees



Apa kata anda??