Bersama-sama mak di meja makan memang menyeronokkan. Ada saja input dan info berguna yang dikongsi bersama.
Dan hari ini mak berkongsi tentang apa yang dibacanya daripada majalah Solusi, isu 20. Terus saya belek-belek bahagian itu di bawah tajuk "Syafaat Selepas Syafaat Rasulullah s.a.w". Mari saya kongsikan dengan kalian, moga kita sama-sama beroleh manfaat.
* * * * *
Syafaat Saudara Muslim
Atas keluasan rahmat-Nya, Allah membuka kesempatan kepada setiap Muslim untuk memberi syafaat kepada Muslim yang lain.
Dalam hadis panjang daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah s.a.w bercerita tentang peristiwa yang akan berlaku di akhirat nanti. Baginda bersabda yang bermaksud, "Setelah kaum Mukminin selamat daripada neraka, maka demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, setiap orang daripada mereka meminta kepada Allah dengan memaksa agar dikeluarkan rakan-rakan mereka di dalam neraka. Mereka berkata, "Ya Allah, mereka dahulu pernah solat, berpuasa dan haji bersama kami".
Lalu dikatakan kepada mereka, "keluarkanlah orang yang kamu kenal dari neraka itu" (Riwayat Muslim no. 302)
Masyaallah, persahabatan yang terjalin di jalan Allah berlanjutan hingga ke akhirat. Teman-teman yang pernah bersama-sama dengan kita melaksanakan solat berjemaah, umrah atau haji bersama, suatu hari nanti dapat mengeluarkan kita daripada api neraka. Semakin banyak teman yang kita punya, semakin besar peluang untuk kita memperoleh syafaat itu.
Oleh sebab itu, Islam menganjurkan kita untuk memperbanyak teman dan kenalan. Jalinlah hubungan baik dengan orang Mukmin di sekitar kita, lalu berusahalah menebarkan kebaikan kepada mereka. Kita tidak pernah tahu apa yang bakal menimpa kita di akhirat nanti. Jika ternyata kita harus masuk ke neraka, maka kebaikan sekecil apa pun yang pernah kita lakukan di dunia akan berguna untuk mengeluarkan kita daripada seksaan neraka.
Dalam Sunan Ibn Majah no.3685, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "pada hari kiamat, ahli syurga dan ahli neraka berbaris-baris. Seorang ahli neraka yang berlalu melewati seorang daripada ahli syurga tiba-tiba berkata kepadanya, "wahai polan, ingatkah engkau, suatu ketika engkau pernah meminta air, lalu aku memberi kepadamu?" Ahli syurga itu lalu memberikan syafaat kepadanya. Seseorang yang lain berkata kepada ahli syurga yang lain, "Ingatkah engkau, suatu ketika aku pernah membantumu dalam urusan bersuci?" Ia lalu memberi syafaat kepadanya.
* * * * *
Masyaallah..hebat ya. Sahabat kita juga mampu memberi syafaatnya di akhirat kelak. Maka, berbuat baiklah dengan mereka yang berada di sekeliling kita.
Terbayang wajah teman-temanku.
Sahabat,
di akhirat nanti,
andai Allah mengizinkan kakimu melangkah ke syurga,
sedang aku tidak,
jangan tinggalkan aku,
syafaatkanlah aku sahabat,
kerana aku pernah bersama-sama denganmu ketika di dunia,
pernah menolongmu meski pertolonganku itu mungkin kecil sahaja.
Namun, bukan hanya kerana pertolongan kecilku itu
aku meminta syafaatmu,
tetapi,
kerana AKU SAHABATMU...
SYAFAATKAN AKU SAHABAT...









